konspirasi
Usop baru sahaja menggesek anak mancis api cap orang terbang ketika Ucu termengah-mengah sampai di muka pintu. Jiman dan Sipah yang sudah siap membentang sejadah menunggu dengan sabar bapa mereka selesai menyalakan pelita dan kemudian akan  mengimamkan solat magrib. `Apa hal Ucu tergesa-gesa sangat nampaknya ni?` Soal Usop sebelum sempat Ucu membuka mulut. Dia menggamit Sipah dan mengarahkan puteri bongsunya itu mengalihkan  pelita karbad yang sudah bernyala ke hujung beranda. Ucu bertinggung pada anak tangga sambil mengesat peluh. `Aku nak pinjam lagi basikal kau ni Sop…nak kena pergi  balik ke kampung sebelah `. Berkerut dahi Usop memandang Ucu. `Aih…tadi kan dah pergi..nak pergi balik..apa kerja pulak ?`. `Ada barang tinggal` Jawap Ucu pendek.Kalau ada jawapan yang lebih pendek dari itu dia akan guna kan kerana dia tidak mahu bercakap banyak. Lebai Dolah  dan Pak Itam sudah pesan seratus belas kali ,  kalau Usop tanya try `kaver` abis-abisan. Biar pecah di mulut jangan pecah di perut . Jangan sampai Usop terhidu  konspirasi ` ops seladang` yang mereka rancang. Ucu pun agak saspen juga apabila Pak Itam cakap tuan punya senapang nak kena bagi juga sekilo dua. Ini sudah kira merbahaya kerana dari empat sudah bahagi lima . Kalau Usop juga tahu  projek ni nanti , nak kena bahagi  pulak sekilo dua lagi . Ucu tahu tidak boleh ramai-ramai sangat dalam kroni.Nanti laba dapat sikit. Sana tahu sini tahu, sana kena jolok sini kena jolok..kesudahannya nanti tinggal telinga.mana cukup.Itu pun kalau tak kena potong line pulak oleh kroni-kroni yang lain.Silap-silap dapat najis saja . Tiba-tiba Ucu teringat bendera yang Jibam cacak atas najis seladang . Tapi buat masa ini Ucu tidak ada masa nak fikir dalam-dalam atau buat firasat. Apa yang dia tahu operasi yang di rancang oleh Lebai dolah ini perlu di laksanakan. Dia tidak kisah menjadi balaci atau barua kerana apa yang penting dia akan dapat bahagiannya nanti.Itu janji Lebai Dolah.`Tapi Ucu…aku nak pakai basikal tu pagi esok ` Usop  memandang wajah Ucu yang kelihatan `blur`  di dalam kesamaran  cahaya pelita karbaid. `Ala Sup…Malam ini jugak aku hantar basikal ni balik..aku janji` Ucu merayu. ` Baik lah Ucu` Usop kemudiannya mengalah kerana waktu maghrib sudah panjang .Jiman dan Sipah sudah mulai resah di atas tikar sembahyang.` Tapi kau jangan tak hantar pulak..esok aku nak ke pekan pergi tukar kad pengenalan baru ..dengar khabarnya ada cabutan bertuah…hadiah kereta untuk sapa yang  tukar kad pengenalan baru `.ujar Usop dengan penuh harapan. `Aku janji sop, sumpah !!..takkan lah aku nak mungkir janji pulak…orang yang mungkir janji tu kan munafik ..nabi kata gitu…dalam kitab kata gitu..malah arwah suman dulu  pun selalu ceramah kat surau kita…kerbau di pegang pada talinya..manusia di pegang pada janjinya`.Ucu tambah bersemangat mengalas kata-kata setelah nampak bunga-bunga persetujuan dari Usop Kidung. `Kalau gitu baik lah Ucu…kau pakai lah dulu basikal ni..karang balik kau sandar kan aje kat tepi tangga rumah aku ni` pesan Usop. Ucu menyorong  basikal keluar pintu pagar . Jiman dan Sipah yang masih menunggu di tikar sejadah hanya memerhati dari beranda rumah. `Ingat tu Ucu… manusia di pegang pada janji….kalau tak pegang janji..sama jer macam kerbau ` Pesan Usop lagi membuat kan Ucu tersenyum kelat dan sesekali tersengih macam macam kerbau kena loteri.
KETURUNAN BUKAN PUNCA SINDROM DOWN
`Kelahiran kanak-kanak sindrom down bukan di sebabkan faktor pemakanan,gaya hidup atau keturunan, tetapi ia adalah satu anugerah. Presiden sindrom down malaysia (PSDM) ,PROFESOR MADYA DR.SYARIFAH ZAINIYAH SYED YAHYA berkata beliau menyangkal dakwaan yang mengaitkan faktor-faktor tersebut sebagai punca kanak-kanak mengalami sindrom down. Menurutnya, sehingga kini beberapa kajian gagal  mengesan faktor sebenar kelahiran kanak-kanak pengidap sindrom itu. Beliau berkata demikian pada satu sidang akhbar selepas majlis penyerahan geran pelancaran bagi persatuan sindrom down perlis dan negeri sembilan.`Kadir melipat keratan akhbar tersebut baik-baik dan menyimpannya kembali ke dalam beg duit. Tiba-tiba sahaja kerinduannya pada Jibam tidak dapat di tahan-tahan. Tanpa menulis borang permohonan cuti dia memecut kapcai milik kompeni menuju ke kampung belulang.
PENGKELEPETAN LEBAI DOLAH
Ucu termengah-mengah kayuh basikal. Nasib baik menjelang senja bukit tempurung sudah berbalam-balam kelihatan menunjukkan hanya beberapa ratus belas minit saja lagi dia akan sampai semula ke kampung belulang. Ini semua gara-gara mission impossible Lebai Dolah lah semalam ni. Tak pasal-pasal dia terpaksa jadi balaci kayuh basikal lebih lapan kilometer ke kampung sebelah semata-mata nak pinjam senapang dari ghani komando. Tapi apabila mengenangkan janji manis Lebai Dolah daging seladang tersebut akan di bahagi empat Ucu sengih sampai ke telinga. Tidak payah banyak..dapat satu peha pun sudah cukup untuk lauk sebulan. Tapi kalau Lebai Dolah betul-betul ikut matematik..memang semua akan dapat laba sama banyak. Itam mesti mintak satu per empat pasal dia yang di arahkan menyembelih…karim juga satu perempat, kerana nanti dia yang akan menyiapkan khemah tempat melapah.Sementara Lebai Dolah mungkin ambik lebih sikit 2-3 kilo tak apa lah..kerana dia yang akan menembak.Bukan kerja senang menembak seladang liar. Setakat lima enam das belum tentu tumbang .Tambahan pulak kalau kurang pengalaman. Gementar dan kurang kompiden boleh mengundang padah. kalau setakat kena telinganya saja ada harapan ke empat-empat mereka lintang pukang tiga empat bukit di hambat seladang luka. Boleh jadi juga ke empat-empat mereka akan terpaksa menjalani rawatan rapi di unit neurologi kerana kepala seladang bukan main-main. Kalau sekali di hantuk seladang lubang idung boleh tercampak ke tanah. Sesekali Ucu rasa macam nak tarik diri saja dari rancangan sulit ini apabila teringatkan perangai Lebai Dolah yang tidak kompiten. Semasa Jibam dan Tuk Ngah jumpa taik kerbau tepi surau, Lebai Dolah yang menakut-nakutkan orang kampung yang hadir dengan kata-kata misteri.`Dalam kampung ini mana ada orang bela kerbau,lembu dan kambing..jadi mana datangnya taik kerbau ni`. Bagi orang kampung yang kurang pengetahuan am pula ketayap putih Lebai Dolah menjadi sebab untuk mereka meyakini kata-katanya tanpa banyak soal siasat. Namun selepas itu mereka berempat berkumpul semula di kedai Pak Itam setelah orang kampung habis pulang. Lebai Dolah bisik maklumat lain pula. `Korang diam-diam perkara ni..biar kita berempat je yang tau ni…aku yakin sangat itu najis seladang…aku kenal sangat kerana dulu kerap mengikut arwah suman tu pergi berburu`. Atas desakkan Lebai Dolah mereka berempat akhirnya membuat kata sepakat untuk merahsiakan hal ini dari orang kampung. Kerana itu jugalah Ucu terpaksa pergi pinjam senapang RELA dari kawan di kampung bersebelahan. Cuma apabila sampai di tengah halaman rumah Lebai Dolah …Ucu menepuk dahi beberapa kali. Pak Itam,karim dan Lebai Dolah yang sudah siap berpakaian lengkap dengan bekalan untuk masuk ke hutan mendengus marah. Ucu cuma pinjam dan bawak balik senapang tapi lupa nak mintak peluru.ÂÂ
BAGAIMANA WAJAH KARTUN MALAYSIA ?
`Engkau cakap je pandai..tapi apa dia wajah kartun malaysia kau tak terangkan` bidas seorang kawan masa aku lepak makan roti canai kat central market.`Ya tak ya jugak..macamana ek rupa wajah kartun malaysia` Tanya ku kembali. ` Mana aku tau..kau yang cakap nak mengembalikan wajah kartun malaysia..nak kembali macamana…sekarang orang dok tunggu langkah selanjutnya ` Tekanan di berikan sewaktu aku mengunyah kerak roti canai bercicah kuah kacang dal yang terakhir. Aku tau tidak ada sesiapa yang menunggu langkah seterusnya kecuali dia yang memulakan topik pada pagi itu. Aku masih berfikir sedang serangan dari tiga penjuru bermula. Rakan-rakan lain yang sememangnya kaki kutuk tidak henti-henti berhujjah dan hujjah-hujjah tersebut seperti pernah ku dengar…tetapi di mana ya…(dalam website atau blog-blog peribadi barangkali).`Kau tidak boleh menyekat kebebasan bakat-bakat baru untuk bekarya..mereka tengah ghairah mencari identiti,biar kan mereka explore sepenuhnya dunia ini..mereka ada idea yang segar dan luar dari kotak pemikiran karyawan-karyawan sebelumnya` ujar pelukis naif di sebelah kanan ku. Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal. `Kenapa persoalan ini tiba-tiba menjadi terlalu dalam dan payah ?` Tanya ku secara automatik….dan aku pun tidak tau kenapa pertanyaan seperti itu keluar dari mulut ku sedangkan aku memikirkan sesuatu yang lain. `Maksud engkau?` Ketiga-tiga pencabar minda pagi itu bertanya serentak. `Entahlah…aku tiba-tiba jadi hairan apabila kita dalam keadaan yang  waras boleh membezakan pakaian orang malaysia, makanan orang malaysia , kepelbagaian budaya orang malaysia , muzik irama malaysia , sejarah dan ekonomi malaysia ,politik malaysia ,kenderaan malaysia dan segala-galanya tentang  malaysia…tiba-tiba kita tak tau macamana sepatutnya kartun-kartun yang beridentitikan malaysia`. Hairan sungguh la kan .
BERITA DARI BELANTARA
Assalamualaikum…dan salam sejahtera buat semua makhluk bernyawa yang aku kasihi.Ampun dan maap di pohon kerana janji balik pada hari isnin tidak tertunai.Kita hanya merancang namun Tuhan yang menentukan.Terlalu banyak HAL yang aku uruskan di dalam hutan belantara sana sehingga otak kiri ku menjadi kompius.Oh ya…Tupai dan monyet kirim salam.Badak tak sempat jumpa…perhilitan kata spesis ini dah hampir pupus.Gajah dan rakan-rakan khabarnya sudah sebulan meniti rabung bukit menghala ke tailen.kalau tidak terdengar juga suaranya setrompet dua.Beruang madu juga tidak datang seperti biasa menghampiri boat-house minta roti dan susu,kata renjer sudah mati di bunuh orang.Aku katakan pada warisnya..manusia memang begitu.Sesama sendiri juga berbunuh-bunuhan.Inikan pula berlainan spesis.Namun babi tidak setuju sama sekali.`Apa beza dengan binatang kalau tidak menghormati undang-undang` ujarnya marah sambil menumbuk pangkal pokok kayu balak sebesar pemeluk.`Tolong bawak perkara ini pada menteri` usulnya lagi.Aku hanya tersenyum pahit.Tidak berani berjanji apa-apa.Tujuh puluh tiga langkah dari tempat babi berhujjah ular tedung selar melengkar keletihan.Dia sudah tidak mampu menyembur bisa.Belantara kini sudah terlalu huru hara.`Undang-undang rimba sudah di pakai manusia..lalu kami mahu jadi apa`bisiknya keluh kesah. `Sabar saudara-saudara…aku akan kembali esok lusa…akan ku khabarkan pada manusia..mudah-mudahan mereka sudi membuka minda dan berlapang dada`.Musang tiba-tiba tesedar dari lena.Dia menggosok-gosok mata seperti tidak percaya.`Di luar sana masih ada lagi manusia?`. Aku mengangguk-angguk dalam hati sementara seluruh penghuni belantara memasang telinga.`Kalau begitu pergilah…kembali ke alam nyata dan sampaikan lah segala cerita..mudah-mudahan mereka percaya`bisik satu suara.`Sampaikan juga salam kami pada JIBAM dan katakan tidak usah lagi merasa derita kerana dia sendiri adalah penderitaan`.Maka inilah aku kembali setelah menumpahkan sekian banyak air mata di tengah-tengah belantara.Semoga Tuhan memberi ku kesabaran yang penuh.Insyaallah.
AKU KEMBALI KE ALAM STREBENTUEN
Semenjak semalam aku terdengar  seolah-olah cengal dan keruing di tebing sungai hulu terenggan tu menyebut-nyebut nama aku. Pokok  neram yang baru berbuah tahun lepas juga seolah-olah berbisik  ingin mengadu masalahnya.Memang semenjak dua menjak ni macam itu.Cuaca tidak menentu ,waktu semakin laju, dia sudah tidak tahu bila masa dan ketika untuk merancang sesuatu.El nino yang di ramal membawa haba dan angin panas  beralih arah entah kemana.Pendebungaan tahun ini agak kelamkabut tidak lagi mengikut tertibnya.Nanti jika berbuah juga musim kelah mabuk lebih lewat dari biasa.Pemancing yang bijaksana akan keliru dengan ilmu-ilmu yang di pelajari turun temurun.Jadual telah berubah.Air tinggi juga lewat satu bulan dan rumput masam terlajak ketahun berikutnya.Lubuk tidak ketahuan.Aku terdengar juga suara gajah mengeluh kerana rebung tidak tumbuh.Tebing terhakis jauh membawa rumpun buluh sujud ke dasar sungai.Lolongan ungka semakin sayu dan hiba.Tangan panjang nya sudah sakit-sakit mencapai dahan yang jauh.Batang balak sudah lima rantai jaraknya antara satu dengan lain sementara di bawah nya bulldozer rantai masih menunggu untuk menukarkan belantara hijau itu kepada padang jarak padang tekukur.Lewat jam satu pagi aku masih tidak boleh tidur.Suara-suara panggilan dari segenap rimba raya kedengaran merintih dan penuh duka.Aku tau mereka mencari tempat mengadu.Sungguh aku tidak mungkin mampu membantu namun aku adalah pendengar yang baik.Kami sama-sama bermasalah.Kami sama-sama sudah tidak tahu adab dan peraturan yang di buat oleh manusia.Di sana aku akan bermunajat dan berdoa bersama cengal dan keruning agar kita semua di selamatkan  dari kejahatan nafsu dan surakah….mudah-mudahan aku kembali nanti penuh dengan kasih dan sayang…sebenarnya arini aku nak bawak satu group  masuk hutan..gi mancing hahahahahaha.Jumpa lagi ari isnin nanti insyaallah….
Welcome to Malaysia
![]()
 Aku Budak Minang..antara karya awal saya di GILA-GILA sekitar tahun lapan puluhan. Saya sukakan hasil yang ini kerana ia menghimpunkan sebahagian besar nostalgia saya di zaman kanak-kanak serta peralihan melalui zaman remaja dan seterusnya saya berkongsi rasa dengan ramai pembaca pengalaman-pengalaman yang kita lalui bersama sepanjang kehidupan ini. Aku Budak Minang juga mencatatkan banyak kenangan manis sepanjang karier saya sebagai kartunis dan saya menemui ramai peminat yang membaca buku tersebut di zaman persekolahan mereka..kini sudah beranak pinak .(hahahahaha…Tua dah rupanya aku.)…Kini atas usaha cesb AKU BUDAK MINANG di beri nafas baru dengan kulit yang lebih tebal dan eksklusif serta kertas yang berkualiti untuk mempastikan ia menjadi sebuah koleksi yang patut anda letak di dalam rak buku di rumah anda. WELCOME TO MALAYSIA-juga terbitan CESB-Merupakan gabungan saya dengan kartunis AZA. Satu percubaan untuk melihat sejauh mana sambutan pembaca terhadap humor slapstik.Alhamdulillah sehingga kini setelah lebih 16 tahun berlalu..buku tersebut masih terjual dan di ulang cetak.Maka sewajarnya lah anda berbangga menjadi salah seorang pemiliknya-lagi pun sekarang ni kerajaan tengah kempen tahun melawat malaysia…elok sangat-sangatlah kalau bagi buku ni pada member-member omputih anda sebagai tanda kenangan kunjungan mereka ke malaysia.Kalau dia tanak pun tak apa…Asalkan beli.
APA DAH JADI KARTUN DAN KOMIK MALAYSIA?
Agak lama juga saya tidak memberi perhatian pada perkembangan industri komik dan kartun tanahair. Sepanjang tempoh itu tumpuan sepenuhnya lebih terfokus kepada usaha-usaha di dalam bidang lain.Seronok juga menjalankan perniagaan yang berkaitan dengan alam semulajadi.Mengelolakan Pakej-pakej memancing dan pengembaraan ke segenap rimba belantara  sejak 12 tahun yang lalu memberikan seribu satu macam pengalaman dan cerita yang bakal saya olah dalam bentuk komik dan kartun sedikit masa lagi.Apabila kerinduan untuk melukis datang semula, Saya mengambil masa yang cukup panjang kerana tidak tahu dari mana karya-karya tersebut harus di mulakan,bagaimana citarasa pembaca masa kini ? Bagaimana senarionya pasaran komik dan kartun tanahair di era 2007 ini? golongan bagaimana yang masih setia melaburkan wang saku setiap bulan untuk menghargai karya-karya humor dan satira…memang saya tidak paham,tidak tahu dan ketinggalan zaman.Atas nasihat buah pinggang kiri saya..maka langkah  pertama yang saya ambil  ialah cuba mengenali dan memahami bagaimana wajahnya komik dan kartun tanahair masa kini.Saya membeli majalah-majalah kartun dan komik yang membanjiri pasaran , melayari internet dan meneroka segenap ruang maya termasuk blog-blog peribadi untuk mencari maklumat,berbual serta bertukar pendapat dengan member-member yang masih rajin mentelaah serta mengikuti perkembangan komik dan kartun masa kini ….maka seklai lalu boleh lah di buat kesimpulan (Walau pun bukan seratus peratus tepat) Bahawa komik dan kartun kita sekarang ini sudah kehilangan wajahnya.Perbincangan demi perbincangan di laman maya ,kritikkan dan hujjah-hujjah dari individu yang perihatin dengan nilai seni anak tempatan memperlihatkan secara kolektifnya komik dan kartun kita juga sudah kehilangan arah dan hala tuju.Kita tidak boleh menyalahkan pengaruh-pengaruh dari luar kerana jendela dunia telah terbuka luas , kartun dan komik asing yang di alih bahasa berlambak tanpa kawalan di pasaran (jangan lupa pogram-pogram tv dan kartun animasi alih bahasa juga menguasai  media elektronik kita-pasti ada seseorang yang bertanggung jawab atas kerosakkan ini) .Mau atau tidak hakikatnya kebanyakkan dari pembaca kita sudah mual dengan jenaka yang di ulang-ulang saban tahun, kita sudah letih dan jemu mendewakan karya-karya asing , kita sudah lemas di dalam mencari diri sendiri ….Maka sudah sampailah masanya untuk  kita berhenti bercakap serta mempromosi kartun dan komik yang di pengaruhi  anime,mangga,keajaiban-keajaiban pahlawan sakti yang tidak berhenti-henti membunuh atau makhluk-makhluk anih yang yang mengerikan dengan senjata yang pelbagai rupa. Dengan ini saya menyeru diri saya sendiri , rakan-rakan pelukis dan kartunis sekalian..marilah kita bersama-sama membangkitkan semula karya -karya beridentitikan  malaysia dan berwajah kita sendiri.Supaya anak cucu kita tidak keliru suatu hari nanti apabila membaca karya-karya peninggalan kita dan berkata…`Pelukis dan kartunis malaysia era tahun dua ribu dulu kebanyakkannya berasal dari Jepun dan Hong Kong`.
JIBAM DI PWTC
Tarikh : 27 april —6 may 2007. LOKASI : PWTC kuala lumpur. EVENT : Pesta Buku antarabangsa(memang berbagai-bagai bangsa akan anda temui di sana).Datang lah ke gerai CREATIVE ENTERPRISE di mana selain ratusan judul novel terbaik terbitan CESB, anda juga akan menemui karyawan-karyawan seni tanah air,wakil penjual yang peramah,sekeriti gad yang memiliki wisel sendiri,urusetia yang cukup setia dan juga budak-budak sekolah yang datang bersama cikgunya.Tetapi apa yang paling mengujakan…di sana pada tahun ini buat pertama kalinya anda di beri peluang mendapatkan novel JIBAM yang di ulang cetak khas untuk anda.T-shirt design terbaru JIBAM…dan beberapa product rahsia (rahsia kerana tak tau sempat buat ke tidak) di samping koleksi eksklusif buku AKU BUDAK MINANG,ACA,ACA DAN ATUK serta beberapa hasil karya kartunis UJANG yang baru pulang dari alam strebentuen.Jangan tak datang plakkkk…!!!
ASYIKKKK
Jiman tabur lagi serdak biskut lemak atas tanah.Sipah yang mencangkung di sebelahnya leka merenung kloni-kloni semut hitam mengerumuni makanan yang jatuh dari langit.Pelbagai aksi sarkis di lakukan dalam usaha makhluk ini membawa pulang rezeki masing-masing.Ada yang melilau kehulu kehilir mencari arah,ada yang sudah tersasar jauh dari kumpulan hingga sesat di pangkal pokok nenas dan tidak kurang juga yang masih tidak bergerak-gerak kerana kepingan yang cuba di pikulnya melebihi had muatan yang di benarkan oleh kudrat.Namun apa yang Jiman dan Sipah perati semenjak tadi…tidak ada sekor pun yang cuba berehat-rehat menghisap rokok..atau lepak berbual-bual di tepi batu..atau juga yang cuba curi-curi tidur di sebalik daun pandan.`takde…takde dan takde…!`Pendek kata segala-galanya berjalan dengan okey.Tersangat okey dan melampau-lampau okeynya.Perasaan ingin tahu Sipah semakin meluap-luap.`Takkan takde gaji kot?` tanya sipah sekali lagi.Jiman diam.`takkan singgit pun takde`.Sipah tanya jugak lagi walau pun telinga Jiman sudah mulai panas kerana bosan menjawap soalan-soalan Sipah yang kadangkala di rasakannya tidak releven.`Sipah…semut ni buat kejer tak perlu bayar gaji…pasal kalau ada gaji pun dia bukan reti kira duit `.Jawab Jiman panjang lebar.Sipah mengerutkan kening semakin tidak faham.`Tapi kenapa dia rajin?`Sipah tanya balik soalan yang sudah lapan belas kali di jawab oleh Jiman dari pelbagai sudut yang tercapai akalnya.`Sipah…dulu Tuk Suman pernah cakap…sesatnya orang yahudi kerana banyak bertanya..Sipah nak jadi orang yahudi?`gertak Jiman setelah tidak larat lagi melayan pertanyaan-pertanyaan tahap karipap sardin tersebut.Sipah geleng kepala lelaju walau pun dia tidak faham lansung makna perkataan yahudi itu sendiri.Cuma apa yang dia tahu..kalau Tuk Suman yang cakap…orang kampung semua akan ikut.Dari jauh usop kuding hanya memerhatikan Sipah menggeleng-geleng kepala tidak berhenti-henti.Permainan apa pulak yang di ajar Jiman kepada Sipah pagi-pagi ni..Usop menggeleng-geleng kepala jugak..tetapi perlahan-lahan dan cukup berhemah.




